STAR tidak sertai kerajaan GRS, pelantikan Ishak Ayub bukan rundingan parti

 

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menegaskan bahawa parti itu tidak akan bersama kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baharu dibentuk.

Presidennya, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan, berkata, ia sekali gus menolak dakwaan bahawa penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Mohd Ishak Ayub sebagai Pembantu Menteri adalah hasil rundingan parti.

Katanya, pendirian STAR kekal konsisten bahawa Sabah mesti ditadbir sepenuhnya oleh parti-parti tempatan, tanpa bergantung kepada pengaruh parti dari Semenanjung.

“Pelantikan Mohd Ishak sebagai Pembantu Menteri adalah lantikan terus oleh Ketua Menteri, dan bukannya jawatan yang dirunding atau dipersetujui oleh pimpinan STAR.

“Beliau adalah wakil rakyat Bingkor, dan kami menghormati prerogatif beliau untuk menerima pelantikan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jeffrey menegaskan STAR akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab, dengan menyokong apa sahaja dasar yang mempertahankan kepentingan Sabah.

“Kami juga menentang sebarang tindakan yang menggugat MA63, Perlembagaan atau perjuangan ‘Sabah for Sabahan’” katanya.

Menurutnya, pendirian parti itu tidak berubah, Sabah wajar dipimpin kerajaan yang dibentuk sepenuhnya oleh parti-parti tempatan, kerana sebarang kompromi hanya akan melemahkan kedudukan rundingan dan masa depan negeri.

“STAR akan terus menjalankan amanah dengan integriti, disiplin dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Sabah dan rakyatnya.

“Saya sekali lagi mengesahkan bahawa walaupun seorang wakil rakyatnya menerima jawatan dalam kerajaan, STAR kekal berada di blok pembangkang dan tidak menyertai kerajaan GRS,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama