KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat menegaskan sokongan sebulat suara terhadap Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah, Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurut kenyataan media hari ini, sokongan itu disuarakan susulan kemelut pembentukan kerajaan negeri, apabila Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk menyertai kabinet GRS.
“Ini merupakan manifestasi jelas kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang terbukti matang, berwibawa, berwawasan serta berpandangan jauh dalam memastikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kelangsungan pembangunan negeri Sabah,” katanya, di sini.
Pergerakan Pemuda menggesa seluruh jentera dan kepimpinan Pemuda di semua peringkat untuk memperkukuh kesatuan dan memberikan sokongan padu kepada Hajiji dalam mengemudi pentadbiran negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Kami yakin sokongan ini amat penting bagi memastikan agenda pembangunan rakyat, kesejahteraan sosial dan kemajuan Sabah dapat dilaksanakan secara konsisten, tersusun dan berkesan,”ujarnya.
Dalam pada itu, pemuda Gagasan Rakyat menegaskan bahawa mereka akan terus menjadi wadah utama menyuarakan harapan anak muda Sabah kepada pimpinan tertinggi parti dan kerajaan.
“Pemuda juga menzahirkan pendirian untuk sentiasa akur, patuh dan setia terhadap setiap keputusan pimpinan, demi menjamin kestabilan, keutuhan organisasi serta kelangsungan perjuangan membangunkan negeri dan membela nasib rakyat,” jelasnya.
Pergerakan Pemuda turut merakamkan tahniah kepada seluruh barisan Jemaah Menteri Negeri Sabah yang telah mengangkat sumpah.
“Kami menaruh penuh keyakinan agar barisan kabinet yang dilantik ini dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penyelesaian isu-isu legasi rakyat secara menyeluruh dan tuntas, penambahbaikan serta peluasan inisiatif kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
“Juga pemerkasaan agenda wanita dan pembangunan anak muda, peningkatan kecekapan tadbir urus dan penggunaan sumber negeri secara berhemah serta terus konsisten mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.
“Kami yakin tempoh pentadbiran lima tahun akan datang akan menjadi saksi kepada kemampuan Kerajaan GRS Plus membawa Sabah ke arah negeri yang lebih maju, stabil, makmur dan berdaya saing demi kepentingan rakyat dan masa depan generasi akan datang,” tambahnya.
