SPR tetapkan 10 Januari penamaan calon, 24 Januari pengundian PRK Kinabatangan, Lamag



KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 10 Januari 2026 sebagai tarikh penamaan calon manakala 24 Januari 2026 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, PRK berkenaan diadakan susulan kekosongan luar jangka kedua-dua kerusi itu berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.

Menurutnya, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada hari penamaan calon.

“Hari pengundian awal akan dimaklumkan kemudian oleh SPR,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PRK itu adalah selaras dengan peruntukan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan selepas SPR menerima pemakluman rasmi mengenai kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

Dalam pada itu, SPR memaklumkan pusat penamaan calon serta pusat pengundian akan diumumkan melalui warta pilihan raya dan hebahan rasmi dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, SPR menyeru semua pihak termasuk parti politik, calon dan penyokong agar mematuhi undang-undang pilihan raya serta mengamalkan kempen secara berhemah bagi memastikan perjalanan PRK berlangsung dengan lancar, aman dan teratur.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag dijangka menjadi perhatian memandangkan kawasan berkenaan mempunyai kepentingan strategik dalam landskap politik negeri Sabah.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama