Razali cadang rumah mesra SMJ bertingkat untuk rakyat Sabah

 

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah dicadang mempertimbangkan pembangunan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bertingkat, khususnya di kawasan separa bandar dan berpenduduk padat, bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kediaman sendiri di bawah skim perumahan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohamed Razali @Bob Razi berkata, meskipun beliau menyambut baik keputusan kerajaan negeri meningkatkan kuota pembinaan Rumah Mesra SMJ pada tahun hadapan, realiti di kawasan separa bandar seperti Sepanggar menuntut pendekatan yang lebih strategik dan bersesuaian.

“Isu utama bukan sekadar bilangan unit, tetapi kekangan tapak tanah akibat kepadatan penduduk yang semakin meningkat. 

“Sebagai contoh, satu tapak yang sebelum ini hanya mampu menempatkan sekitar 20 unit rumah setingkat berpotensi menempatkan dua kali ganda jumlah kediaman jika dibangunkan dalam bentuk RUMAH SMJ BERTINGKAT,” katanya.

Berkata demikian ketika membahas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar satu kajian menyeluruh dijalankan berhubung pembangunan Rumah Mesra SMJ atas air bagi komuniti yang menetap di kawasan perairan. 

“Saya harap kerajaan negeri dapat membuat kajian berkenaan supaya reka bentuk perumahan dapat disesuaikan dengan realiti setempat dan keperluan sebenar rakyat. 

“Pendekatan ini membolehkan lebih ramai keluarga dibantu tanpa menambah keluasan tanah, sekali gus menjadikan pelaksanaan Rumah mesra SMJ lebih inklusif dan praktikal,” jelasnya.

Selain isu perumahan, beliau turut menegaskan keperluan pemerkasaan belia Sabah secara lebih menyeluruh dan berfokus. 

Katanya, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (MySPACE) perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memperkasa pembangunan belia.

“Merujuk kepada Belanjawan Sabah 2026 yang dibentangkan Jumaat lalu, peruntukan RM16.75 juta bagi pembangunan modal insan dan geran kepada persatuan belia merupakan satu langkah positif, namun wajar dikaji semula selari dengan skala sebenar keperluan belia di Sabah.

“Sabah mempunyai kira-kira 2.2 juta belia. Mereka memerlukan sokongan yang konsisten, ruang untuk berkembang, peluang yang adil serta platform berterusan untuk menyumbang kepada negeri,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama