Beliau berkata, reaksi terhadap pelantikan tersebut memperlihatkan pemikiran sempit yang masih berakar, khususnya dalam kalangan segelintir pemimpin politik.
“Amat mendukacitakan apabila masih ada pihak sebahagian besarnya daripada UMNO memberikan komen negatif terhadap pelantikan Hannah Yeoh dan Lo Su Fui.
"Ini menunjukkan bahawa selepas 62 tahun pembentukan Malaysia, masih wujud ketidakmampuan untuk menerima dan mempercayai kaum lain selain kaum sendiri," katanya dalam kenyataan di Faceboonya hari ini.
Menurut Madius, situasi itu menunjukkan gagasan besar pembinaan negara bangsa serta cita-cita mewujudkan masyarakat bersatu dan saling mempercayai masih belum benar-benar tercapai.
“Wawasan strategik ke arah perpaduan nasional dan pembentukan Bangsa Malaysia jelas berdepan kegagalan apabila sentimen perkauman terus dijadikan modal politik,” katanya.
Beliau menegaskan, Malaysia sebagai negara majmuk tidak boleh terus terikat dengan politik lama yang memecah-belahkan rakyat, sebaliknya perlu bergerak ke hadapan dengan pendekatan inklusif dan berpaksikan keupayaan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, mengkritik pihak yang menentang pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, sambil menyifatkan bantahan berasaskan kaum sebagai tidak bertoleransi dan tidak boleh diterima dalam masyarakat hari ini.
Dalam taklimat bersama editor dan wartawan kanan, Anwar melahirkan kebimbangan terhadap tahap intoleransi sesetengah pihak.
“Untuk menolak seseorang kerana warna kulit atau kaumnya… itu teruk pada zaman sekarang ini,” katanya.
Hannah, yang sebelum ini menerajui Kementerian Belia dan Sukan, menggantikan Dr Zaliha Mustafa dan dibantu Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui, sebagai timbalannya.
Menjawab kritikan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, Anwar menegaskan pelantikan berkenaan adalah berdasarkan keupayaan serta tanggungjawab terhadap kerajaan, bukan kepentingan mana-mana parti.
Madius berkata, isu berkenaan seharusnya menjadi cerminan kepada semua pihak bahawa perpaduan nasional masih memerlukan komitmen serius dan keberanian politik untuk menolak sentimen perkauman yang sempit.
