KOTA KINABALU: Ketua Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) negeri, Datuk Jamawi Jaafar menggesa seluruh barisan kepimpinan pertubuhan itu supaya merapatkan saf serta menggembleng tenaga bagi mencapai satu matlamat bersama pada masa hadapan.
Menurut beliau, kepimpinan USIA perlu mengetepikan perbezaan fahaman politik kerana matlamat utama pertubuhan itu adalah untuk memperjuangkan kepentingan agama.
“Kita di peringkat kepimpinan USIA perlu mengetepikan isu politik. Hakikatnya, kita mempunyai pelbagai fahaman politik, namun niat kita semua adalah satu, iaitu untuk agama, bukan untuk politik,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Agung Tahunan Perwakilan USIA kali ke-39 di Hotel Klagan Regency, di sini, hari ini.
Jamawi berkata, terdapat beberapa perkara penting yang wajar direnungi bersama, antaranya berkaitan gelaran Bapa Pembugaran atau Tokoh Peranan Strategik yang disebut sebelum ini.
“Bagi saya, jika dinamakan sebagai Tokoh Pembugaran, ia lebih sesuai. Ini selari dengan hala tuju kepimpinan Yang di-Pertua (YDP) sejak beliau memegang jawatan itu kira-kira empat tahun lalu,” katanya.
Beliau turut memuji usaha gigih YDP USIA yang disifatkan tidak mengenal penat lelah sehingga berjaya membuahkan hasil, termasuk menyelesaikan pelbagai isu sukar yang tertangguh sejak sekian lama.
“Kadangkala kita mahu semuanya sempurna, namun ini semua adalah perancangan. Kita merancang, Allah juga merancang dan sebaik-baik perancang adalah Allah.
“YDP telah berusaha merancang sehabis baik untuk USIA dan sebenarnya banyak kejayaan telah kita capai,” katanya.
Jamawi berkata, antara pencapaian utama ialah penyelesaian isu tanah USIA di Semporna yang sebelum ini dianggap amat sukar.
“Saya bermula dalam USIA sebagai Ahli Majlis Tertinggi (AMT) pada usia 34 tahun dan kini berumur 51 tahun, bermakna sudah 16 tahun saya berada dalam barisan kepimpinan tertinggi. Sepanjang tempoh itu, isu tanah merupakan antara perkara paling sukar diselesaikan dan biasanya mengambil masa bertahun-tahun,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, menerusi kepimpinan YDP, isu tanah di Semporna berjaya diselesaikan dan kini proses pembangunan serta penjualan kedai komersial telah pun berlangsung.
“Saya katakan ini kerana saya sendiri beberapa kali turun ke Semporna dan melihat kawasan tersebut yang kini telah dibangunkan, sedangkan suatu ketika dahulu ia amat sukar untuk dimajukan,” katanya.
Beliau berkata, satu lagi pencapaian penting ialah pembangunan tanah USIA di Sembulan berhampiran Restoran Anak Mami, yang sebelum ini sukar dilaksanakan berikutan perjanjian yang berat sebelah.
“Sebelum ini, USIA perlu membayar kira-kira RM1 juta kepada Jabatan Tanah terlebih dahulu sebelum pembangunan boleh dimulakan. Namun dengan kebijaksanaan YDP, tanah ini berjaya dibangunkan bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi untuk USIA,” katanya.
Jamawi berkata, bangunan lama USIA di Sembulan kini telah siap kira-kira 85 peratus.
Beliau berkata, inilah yang dimaksudkan dengan pembugaran USIA.
Jamawi turut menyentuh mengenai Pusat Dakwah USIA di Kota Marudu yang sebelum ini gagal disiapkan berikutan kekangan kewangan apabila sebahagian peruntukan digunakan bagi operasi pertubuhan.
“Alhamdulillah, isu ini kini dapat diselesaikan dan tidak lama lagi pusat dakwah ini akan dibuka untuk anak-anak kita yang belajar di pusat tahfiz dan tidak menduduki peperiksaan SPM.
“Malah, dengan adanya pusat ini, kita boleh memberi insentif kepada pelajar tahfiz yang tidak mempunyai SPM supaya mereka dapat mengikuti pembelajaran dan seterusnya berjaya menduduki peperiksaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, banyak lagi pencapaian lain termasuk isu tanah USIA di Kinabatangan yang melibatkan kerjasama dengan Tabung Haji, yang sekian lama gagal diselesaikan namun kini hampir sepenuhnya berjaya dimuktamadkan untuk tujuan pembangunan.
Beliau menegaskan bahawa kepimpinan USIA kini berada di landasan yang betul dengan matlamat untuk memastikan pertubuhan itu terus segar dan relevan untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
“Walaupun kita tidak kerap berjumpa, YDP kita sangat aktif. Dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, sentiasa ada program di peringkat bahagian dan zon, termasuk program berbuka puasa yang membuka ruang untuk beramah mesra dan bertukar pandangan,” katanya.
Jamawi berkata, program-program seperti Maulidur Rasul dan Maal Hijrah yang dihadiri YDP di peringkat zon turut mengukuhkan hubungan antara kepimpinan dan ahli.
Beliau merakamkan ucapan tahniah serta penghargaan atas sokongan, bimbingan dan dorongan semua pihak, selain mengucapkan terima kasih atas penganjuran persidangan berkenaan yang memberi peluang kepadanya turut serta dalam majlis tersebut.

