KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan memperkukuh agenda pemerkasaan wanita melalui pelaksanaan beberapa program baharu berfokuskan pembangunan ekonomi, kesejahteraan keluarga dan kesaksamaan sosial menerusi Belanjawan Sabah 2026.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Mojungki berkata, komitmen itu selaras dengan penjenamaan semula kementerian berkenaan yang meletakkan peranan dan sumbangan wanita sebagai teras penting pembangunan negeri.
“Antara program utama ialah Program Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah, ‘BizBlue’ yang menyediakan latihan keusahawanan, kemahiran asas perniagaan serta bimbingan mentor, khususnya kepada golongan ibu tunggal dan wanita B40 bagi meningkatkan keupayaan ekonomi mereka.
“Program ini bertujuan membantu wanita berdikari melalui kemahiran perniagaan yang praktikal, sekali gus membuka peluang menjana pendapatan secara mampan,” katanya ketika menggulung perbahasannya di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini.
Dalam pada itu, beliau turut memperkenalkan Program ‘Keluarga Sejahtera Wanita Unggul’ yang memberi penekanan kepada pengurusan institusi keluarga merangkumi keibubapaan, perkahwinan serta kesihatan lelaki dan wanita.
Menurutnya, Program GENDERasi Harmoni akan diperluaskan ke 10 daerah, khususnya di kawasan luar bandar.
“Ianya bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kesaksamaan gender, pembangunan berasaskan lensa gender, keseimbangan peranan sosial serta pembentukan komuniti yang harmoni dan inklusif.
Sementara itu, beliau turut menambah bahawa pihak kementeriannya akan meneruskan pelaksanaan Program Bantuan Sosial Sekolah pada tahun 2026.
“Program ini akan melibatkan sebanyak 1, 074 buah sekolah rendah di seluruh Sabah bagi meringankan beban ibu bapa.
“Semua bantuan kepada golongan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak dan ibu tunggal termasuk bantuan bencana akan terus dilaksanakan melalui program Homeward, Pusat Perkembangan Kanak-kanak, serta Pusat Autisme Sabah di Sandakan, Tawau dan Beaufort,” jelasnya.
