Polis tahan dua lelaki warga asing terbabit aktiviti judi sabung ayam

Dua suspek lelaki warga asing ditahan polis kerana disyaki terbabit aktiviti judi sabung ayam di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Kinabutan Tiku, di sini, semalam. Foto | Ihsan PDRM

TAWAU : Polis menahan dua lelaki warga asing selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan perjudian sabung ayam di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Kinabutan Tiku, di sini, semalam.

Serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menerusi Operasi Dadu, membawa kepada penahanan dua suspek berusia 55 dan 66 tahun.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya turut serta menemukan empat ekor ayam sabung, termasuk dua yang telah mati, dipercayai digunakan dalam aktiviti haram berkenaan.

Beliau berkata kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut, manakala polis kini sedang mengesan individu lain yang dipercayai terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 16(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. 

"Polis memberi amaran bahawa sebarang aktiviti perjudian haram akan terus dibanteras di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan polis berjaya menahan seorang lelaki kerana disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap warga emas berumur 70 tahun di Kampung Rawa-Rawa, Batu 4 dekat sini.

Menurutnya, polis kini sedang giat mengesan beberapa orang suspek lain yang turut terlibat dan Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama