KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri (MAFFI), Datuk Jamawi Jaafar mahu Korporasi Pembangunan Desa (KPD) kekal komited melaksanakan projek-projek berimpak tinggi yang menyumbang kepada pengeluaran makanan dan jaminan makanan negeri.
Beliau berkata, KPD perlu terus memperkukuh pelaksanaan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat tani luar bandar, khususnya dalam usaha meningkatkan pendapatan serta menjamin keselamatan makanan negeri.
Menurutnya, program-program KPD yang bertunjangkan Program Perladangan Kontrak dan melibatkan penyertaan kumpulan sasar daripada golongan di luar bandar wajar terus diperkasakan serta diperluaskan.
Peserta KPD terlibat dalam pelbagai aktiviti pertanian dan penternakan termasuk projek cendawan, penternakan ayam pedaging, ayam kampung, lebah madu serta tanaman pomelo yang dikenal pasti berpotensi menjana pendapatan tambahan.
Menurutnya, aktiviti-aktiviti berkenaan bukan sahaja perlu dikembangkan dari segi bilangan dan kapasiti pengeluaran, malah diperluaskan ke kawasan baharu serta melibatkan lebih banyak aktiviti tanaman dan ternakan supaya lebih ramai rakyat mendapat manfaat.
Jamawi berkata demikian ketika berucap pada Malam Apresiasi KPD 2025 di Dewan Hakka, Tanjung Lipat, Likas, di sini, malam ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan KPD sentiasa dekat dihati rakyat dan KPD dijadikan panduan dalam pelan perancangan agensi berkenaan, dengan tumpuan kepada projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat khususnya masyarakat tani luar bandar.
Beliau berkata, KPD juga perlu melaksanakan penilaian dan penambahbaikan secara berterusan terhadap program yang memberi impak langsung kepada peningkatan ekonomi dan kecukupan bekalan makanan keluarga peserta.
Katanya, lebihan hasil tanaman daripada kebun dapur berpotensi dijual untuk menjana pendapatan tambahan dan menjadi bekalan kepada 8 Pusat Pengumpulan Hasil Tani KPD (APCC) yang kini beroperasi di Beaufort, Kota Marudu, Keningau, Kundasang, Telupid, Lahad Datu, Tambunan dan Kampung Togudon Moyog di Penampang.
Beliau berkata, dua lagi APCC yang baharu siap iaitu di Nabawan dan Tenom dijadualkan beroperasi pada tahun 2026 dan akan melaksanakan pembelian hasil tani daripada petani di kawasan terlibat.
Menurutnya, pembinaan APCC oleh KPD sangat relevan sebagai saluran alternatif pemasaran hasil pertanian, khususnya dalam menyokong pembangunan sektor pertanian negeri.
Dalam keadaan ekonomi yang mencabar serta kenaikan harga input pertanian yang meningkatkan kos pengeluaran, beliau berkata, golongan tani perlu terus dibantu bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi.
Jamawi berkata, sejak hari pertama menjawat Menteri MAFFI, beliau menyatakan bahawa halatujunya ialah untuk memperkasakan “kebun dapur”. Dengan memperaktikkan kebun dapur, para petani dapat memenuhi keperluan harian mereka.
Beliau juga berharap lebih ramai anak muda akan menceburi bidang pertanian dan menjadi usahawan yang berjaya.
Jamawi merakamkan penghargaan kepada pengurusan KPD atas inisiatif melaksanakan projek yang melibatkan rakyat dan berharap usaha berkenaan terus menyokong agenda pembangunan negeri.
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada KPD yang telah memberikan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Kerajaan Negeri.
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada KPD yang telah memberikan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Kerajaan Negeri.
Turut hadir, Pembantu Menteri I, Datuk Haji Ruslan Muharam; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong; Pengurus Besar KPD, Jamilah Lee; Pengarah Urusan Desa Padi Plantation Sdn. Bhd sebagai rakan niaga dan juga sebagai penaja utama Majlis Apresiasi, Datuk Yap Yun Fook.
