BIW rendah kurangkan minat doktor bertugas di Sabah – MMA Sabah

KOTA KINABALU: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Sabah menyuarakan kebimbangan bahawa kadar Bayaran Insentif Wilayah (BIW) yang lebih rendah susulan semakan di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) boleh mengurangkan minat doktor untuk bertugas di Sabah, sekali gus menjejaskan penempatan dan pengekalan tenaga kerja perubatan di negeri ini.

Pengerusi MMA Sabah, Dr Brandon Patrick Senagang, berkata walaupun reformasi saraan bertujuan memodenkan perkhidmatan awam, pengurangan BIW khususnya yang menjejaskan pegawai perubatan baharu perlu diteliti semula segera berikutan kesannya yang boleh diramal terhadap ekuiti kesihatan dan pengekalan doktor.

Menurutnya, BIW bukan sekadar elaun biasa, sebaliknya instrumen dasar untuk mengimbangi jurang kewangan dan sosial akibat kekangan geografi, logistik serta sumber yang mempengaruhi tugasan klinikal harian di Sabah.

“Realiti ini bukan terhad di kawasan pedalaman, malah merentasi keseluruhan ekosistem kesihatan negeri termasuk kekurangan kakitangan, beban perkhidmatan, keperluan perjalanan, kos sara hidup serta peluang pembangunan profesional yang lebih terhad berbanding pusat utama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. 

Dr Brandon berkata penetapan BIW pada kadar tetap yang lebih rendah berisiko menghantar mesej tidak diingini kepada doktor muda, sekali gus menurunkan kesediaan menerima penempatan, melemahkan kadar pengekalan dan meningkatkan kebergantungan kepada penyelesaian jangka pendek yang akhirnya membebankan sistem serta mengganggu kesinambungan rawatan pesakit.

Beliau menegaskan cabaran kesihatan di Sabah tidak boleh ditangani dengan semangat muhibah semata-mata kerana doktor yang berkhidmat sering menanggung kos peribadi, termasuk perpindahan, penyesuaian kepada infrastruktur terhad dan beban kerja tinggi apabila permintaan melebihi kapasiti.

Sehubungan itu, katanya, MMA Sabah menggesa pihak berkuasa berkaitan, khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Ministry of Finance Malaysia, supaya menyemak semula struktur BIW yang disemak dan mengembalikan mekanisme yang adil serta progresif, selari dengan realiti perkhidmatan di Malaysia Timur, terutama Sabah.

“Ini bukan tuntutan layanan istimewa, sebaliknya seruan kepada reka bentuk dasar yang saksama. 

"Hasil kesihatan yang setara memerlukan pengiktirafan terhadap beban yang tidak setara dan penanganannya secara bertanggungjawab. Melindungi insentif bagi penempatan di Sabah bermakna melindungi kesihatan rakyat negeri ini,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama