KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar memuji pencapaian dan komitmen tinggi Jabatan Pertanian Sabah yang terbukti melalui pelbagai anugerah diterima sepanjang tahun ini, hasil pelaksanaan tugas secara berintegriti dan profesional.
Beliau berkata, kejayaan tersebut adalah hasil usaha kolektif seluruh warga Jabatan Pertanian, sekali gus mencerminkan keupayaan jabatan itu dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan demi pembangunan sektor pertanian negeri.
Jamawi menzahirkan harapan agar tahap komitmen dan profesionalisme yang ditunjukkan oleh semua warga jabatan dapat terus dikekalkan pada masa hadapan bagi memastikan kecemerlangan berterusan.
Jamawi turut menyeru semua jabatan dan agensi Kementerian untuk tidak bersaing sesama sendiri sebaliknya saling melengkapi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Malam Pertanian Jabatan Pertanian Sabah Tahun 2025 yang berlangsung di Grand Ballroom, Magellan Sutera Resort, di sini, malam ini.
Beliau turut menyarankan agar semua jabatan dan agensi kerajaan, pihak bukan kerajaan, pemain industri serta rakyat dilibatkan secara langsung dalam usaha memperkukuh pelaksanaan inisiatif keterjaminan makanan di Sabah.
Jamawi turut memberikan penekanan kepada memperkasakan inisiatif Kebun Dapur yang akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun hadapan serta beberapa lagi insiatif yang akan diperkenalkan.
Jamawi bersama isteri, Datin Zainatunnisa Ibrahim turut menyantuni semua warga Kementerian yang hadir termasuk juga mantan-mantan pengarah.
Hadir sama, Pembantu Menteri Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam, Setiausaha Tetap, Datuk Leonard Stephen Poyong, Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Dr. Jikrin Hj Mohamad.
