Ewon santuni komuniti, hadiri pemberkatan Evangelists Chapel St Michael Penampang

PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick menghadiri Misa Pemberkatan Evangelists Chapel, St Michael Penampang. 

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang merakamkan ucapan tahniah kepada pimpinan Paroki St Michael Penampang serta menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang kepada pembinaan chapel berkenaan.

Beliau berkata, ketika berada dalam Kabinet Persekutuan sebelum ini, pejabatnya telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM186,000 di bawah Program Bantuan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) bagi menjayakan pembinaan chapel tersebut.

“Tahniah kepada pimpinan Paroki St Micheal dan terima kasih kepada semua penyumbang sehingga terbinanya Chapel ini,” katanya. 

Majlis berkenaan turut disempurnakan oleh Uskup Agung Kota Kinabalu, Yang Mulia Bapa Uskup John Wong, di sini, hari ini.

Selain menghadiri misa pemberkatan, Ewon turut mengadakan lawatan tapak ke projek pembinaan Tadika Harmoni St Michael Penampang yang kini sedang giat dilaksanakan hasil sumbangan dana awam.

Katanya, projek berkenaan masih memerlukan sokongan dana daripada masyarakat bagi memastikan pembinaannya dapat diteruskan dan disiapkan mengikut perancangan.

“Apabila siap sepenuhnya, bangunan ini dijangka mampu menampung sehingga 500 murid, sekali gus menjadi platform penting bagi permulaan pembangunan modal insan di Penampang,” jelasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama