Pengantin baharu maut, motorsikal rempuh lori rosak tersadai dua hari

TAWAU: Lelaki yang baru mendirikan rumah tangga Oktober lalu maut selepas motosikal ditungganginya melanggar sebuah lori rosak yang tersadai di laluan utama Jalan Sungai Burung, Jalan Apas–Balung, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa, Hasan Ambo Latta, 32, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas tercampak ke lorong kanan jalan susulan impak pelanggaran.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 6.05 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah lori Nissan sarat muatan baja dipandu lelaki tempatan berusia 46 tahun dan sebuah motosikal Yamaha 135LC.

“Siasatan awal mendapati lori terbabit mengalami kerosakan mekanikal pada 17 Disember lalu kira-kira jam 10.30 malam dan tersadai di laluan kiri jalan menghala ke Jalan Apas selama hampir dua hari tanpa dialihkan.

“Lokasi kejadian didapati gelap serta tidak mempunyai lampu jalan selain tiada papan tanda amaran atau kon keselamatan diletakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang dalam perjalanan dari Batu 15, Jalan Apas ke tempat kerja di sebuah kilang dipercayai tidak menyedari kehadiran lori berkenaan sebelum melanggar bahagian belakang kanan kenderaan itu.

Difahamkan, mangsa yang baru berkahwin Oktober lalu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Balung.

Menurutnya, pemandu lori terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan memastikan kenderaan rosak segera dialihkan serta dipasang papan tanda amaran, khususnya di kawasan gelap, bagi mengelakkan tragedi berulang.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama