Penyokong Sabah FC tidak puas hati mutu pengadilan final Piala FA

 

KUALA LUMPUR: Penyokong Sabah FC mempertikaikan mutu pengadilan pada malam kemuncak perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini. 

Menurut video perkongisan portal Harimau Malaya, seorang penyokong Sabah FC yang ditemui selepas perlawanan mempersoalkan keputusan kad merah serta pembatalan jaringan yang dianggap memberi kesan besar terhadap perjalanan aksi final berkenaan.

“Agak sedikit kesal bila tiada keadilan di situ. 

“Kita tidak kisah kalah atau menang kerana itu adat pertandingan, tetapi yang penting perlawanan itu adil,” katanya ketika ditemui Harimau Malaya selepas perlawanan di perkarangan stadium. 

Beberapa lagi penyokong yang datang jauh dari Sabah turut menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan pengadil yang menurutnya mencetuskan emosi dalam kalangan penyokong dan pemain.

“Tidak puas hati dengan pengadil, terutama berkaitan kad merah dan satu gol yang tidak diterima. Perkara itu memang menjejaskan perlawanan,” kata mereka. 

Seorang lagi penyokong Sabah FC tetap menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian pasukan yang berjaya mencatat sejarah melangkah ke perlawanan akhir buat kali pertama selepas 27 tahun. 

“Since ini 27 tahun tercatatnya sejarah Sabah masuk ke final jadi, ya, kami raikan. 

“Suasana alhamdulillah, ok lah, Sabah pun santai-santai walaupun ada sedikit provokasi tadi oleh pengadil, ya kadang-kadang emosi tu tidak dapat dikawal tapi whatever it is agak sedikit kesal bila tidak ada keadilan di situ lah,” jelasnya. 

Perlawanan akhir antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah FC itu menyaksikan ribuan penyokong kedua-dua pasukan memenuhi stadium, sekali gus mencetuskan kemeriahan dan keghairahan bola sepak tempatan.

Dalam aksi berkenaan, JDT muncul juara Piala FA selepas menewaskan Sabah FC dengan 5-0.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama