Malaysia menuju negara tua 2048, keluarga benteng kesejahteraan- Wan Azizah

 

Wan Azizah ketika menyampaikan ucapannya.

KOTA KINABALU: Perubahan demografi Malaysia dijangka menjadikan negara ini negara tua menjelang 2048 menuntut perancangan awal untuk memastikan kesannya dapat ditangani.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, usaha berterusan memperkukuh institusi keluarga perlu digerakkan sebagai asas kepada kesejahteraan masyarakat dan kestabilan negara.

“Malaysia dijangka menjadi negara tua dengan 14 peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas, manakala kadar kelahiran dan perkahwinan pula semakin menurun.

"Cabaran masa kini menuntut keluarga mengimbangi tuntutan kerjaya, ekonomi dan teknologi dengan keperluan membina hubungan kekeluargaan yang harmoni berasaskan kasih sayang, adab dan nilai murni,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Seminar Inspirasi Keluarga Madani, pada Sabtu.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin bersama-sama Yang Dipertua MUTIARA-GRS, Datuk Juliah Salag.

Wan Azizah turut menegaskan keluarga menjadi benteng utama membentuk masyarakat sejahtera serta berperanan penting menapis pengaruh negatif, khususnya yang datang melalui teknologi dan media sosial.  

"Kehilangan masa berkualiti bersama keluarga akibat kebergantungan terhadap gajet semakin membimbangkan apabila interaksi dalam kalangan ahli keluarga semakin berkurangan.

“Kadang-kadang kita lihat satu keluarga duduk bersama, tetapi masing-masing sibuk dengan telefon. Ini adalah realiti yang perlu kita tangani bersama," ujarnya.

Beliau menjelaskan, walaupun kerajaan boleh menggubal dasar untuk kanak-kanak bawah 16 tahun, pemantauan dan pendidikan paling berkesan tetap bermula daripada keluarga sendiri.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama