![]() |
| Anil ketika mengangkat sumpah sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah. |
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Seri Dr Anil Sandhu mengangkat sumpah jawatan sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, pada Isnin.
Majlis angkat sumpah yang bermula pada jam 10 pagi itu disempurnakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dan disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Usai mengangkat sumpah, Anil yang memenangi kerusi N.63 Kunak pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 atas tiket Barisan Nasional (BN) menandatangani dokumen pelantikan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Sabah, Celestina Stuel Galid.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan; serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Safar Untong.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
