PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal warga asing maut selepas dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Bundusan, Penampang, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam ketika hujan lebat.
“Kereta yang dalam perjalanan menghala ke Towering dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar motosikal yang berada berhampiran.
“Akibatnya, penunggang motosikal berusia 33 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati, mematuhi had laju dan peka dengan keadaan cuaca terutama ketika hujan dan waktu malam.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Penampang atau pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133,” katanya.
