Angkara remaja 15 tahun, wanita maut dirempuh Axia

LAHAD DATU: Tindakan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun memandu kereta tanpa lesen membawa padah apabila sebuah Perodua Axia dipandunya merempuh sebuah Toyota Fortuner, sekali gus meragut nyawa seorang wanita, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang di Kilometer 17, Jalan Lahad Datu–Tawau, mangsa berusia 55 tahun yang merupakan penumpang di tempat duduk belakang Fortuner disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Axia yang dipandu remaja terbabit dari arah Tawau menuju Lahad Datu dipercayai hilang kawalan.

“Kereta itu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian tepi kanan sebuah Toyota Fortuner yang dipandu lelaki berusia 25 tahun bersama empat penumpang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, akibat pelanggaran itu, penumpang wanita di bahagian belakang Fortuner maut di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang lain cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, pemandu Perodua Axia yang juga remaja berusia 15 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati serta mengingatkan ibu bapa agar memantau anak bawah umur yang tidak memiliki lesen memandu bagi mengelakkan tragedi sama berulang.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama