BN Sabah calonkan MIHA di DUN Lamag


KOTA KINABALU: Barisan Nasional Sabah mencalonkan Mohd Ismail Haji Ayob atau lebih dikenali sebagai MIHA, sebagai calon parti bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata BN Sabah memilih pendekatan calon perpaduan dalam menentukan calon bagi PRK berkenaan.

Katanya, ia selari dengan prinsip tadbir urus politik yang menekankan pengurangan konflik, pembinaan konsensus serta kestabilan sebagai asas kepada pentadbiran dan pembangunan jangka panjang negeri.

“Berteraskan pertimbangan itu, BN Sabah akan mencalonkan Mohd Ismail sebagai calon perpaduan melalui kapasiti keahlian terus Barisan Nasional,” katanya

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Pengumuman Calon BN PRK Lamag bersama Media, di sini hari ini.

Menurutnya, pencalonan itu adalah strategi politik berasaskan institusi bagi memperkukuh kerjasama lebih menyeluruh, merapatkan jurang politik serta memastikan kesinambungan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan tanpa gangguan ketidaktentuan politik.

Beliau berkata, pengukuhan kedudukan parti di kawasan Kinabatangan bukan sekadar soal persaingan pilihan raya, sebaliknya satu keperluan strategik demi kestabilan politik negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Ia selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kemakmuran, kerjasama serta tadbir urus berasaskan konsensus,” katanya.

Jafry turut menegaskan keperluan memperkukuh kepimpinan pelapis serta membina naratif politik yang inklusif dan menyatukan sebagai elemen penting bagi memastikan kelangsungan perjuangan BN yang stabil dan kekal relevan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan BN Sabah menghormati kepelbagaian pandangan yang dizahirkan oleh semua pihak dan berpandangan bahawa perbezaan pendapat adalah lumrah dalam sistem demokrasi.

“Namun, perbezaan itu mesti diurus secara matang, berinstitusi dan bertanggungjawab demi menjaga kepentingan rakyat serta kestabilan negeri,” katanya.

Terdahulu, Mohd Ismail baru-baru ini bertanding sebagai calon Bebas bagi DUN Lamag pada Pilihan Raya Umum Negeri Sabah ke-17 dan tewas tipis kepada penyandang kerusi, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, dengan majoriti hanya 153 undi.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama