Belanjawan 2026: Kerajaan Sabah rancang bina muzium negeri baharu


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah merancang pembinaan Muzium Negeri Sabah yang baharu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pemuliharaan warisan, sejarah dan budaya negeri, di samping menyokong pembangunan sektor pelancongan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, petang tadi.

“Antara projek baharu yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 ialah kajian pembinaan Muzium Negeri Sabah yang baharu,” katanya.

Menurut beliau, projek berkenaan masih berada pada peringkat kajian awal dan merupakan sebahagian daripada perancangan jangka sederhana dan panjang kerajaan bagi menyediakan kemudahan muzium yang lebih moden, interaktif serta berdaya saing.

Masidi berkata, secara keseluruhan sebanyak RM174.45 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) serta jabatan dan agensi di bawahnya bagi pembangunan industri pelancongan di Sabah.

“Inisiatif ini bukan sahaja memberi impak ekonomi, malah turut menyumbang kepada pemuliharaan nilai warisan budaya serta kelestarian alam semula jadi,” jelasnya.

Selain itu, antara projek baharu diumumkan iaitu Kota Kinabalu Performing Arts Centre (KKPAC), pembinaan Arte Museum (Digital Museum), pembinaan Galeri Marin di Taman Tun Mustapha Kudat, serta naik taraf fasiliti pelancongan di Pulau Bohey Dulang, Semporna.

Kerajaan Sabah turut memperuntukkan RM36.70 juta bagi menaik taraf fasiliti dan infrastruktur pelancongan sedia ada, termasuk Petagas War Memorial Park, pembinaan Muzium Etnik Ranau, serta naik taraf Pusat Kebudayaan Penampang dan Pusat Kebudayaan Murut di Tenom.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama