Penagih wanita dicekup dalam hotel bersama syabu

 

LAHAD DATU: Seorang wanita tempatan yang disyaki penagih dadah dicekup polis selepas ditemui memiliki syabu dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Seroja, di sini, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 10.50 pagi itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu bertindak hasil maklumat awam menerusi Op Tapis sebelum menahan suspek berusia 37 tahun di dalam sebuah bilik hotel.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Dzulbaharin Ismail, berkata pemeriksaan lanjut menemui satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu serta sebatang straw yang diubah suai.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati wanita terbabit positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana mengambil dadah.

Beliau berkata, semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut. Polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras jenayah dadah di daerah ini,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama