![]() |
| Ihsan: Parlimen Malaysia. |
PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat terus komited dalam memperkukuh agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi pelaksanaan pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan.
Menurutnya, Sabah turut diberi keutamaan melalui usaha mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan asas, penambahbaikan kemudahan awam dan rangsangan pertumbuhan ekonomi wilayah secara menyeluruh.
“Penekanan berterusan Kerajaan MADANI terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk aspek pentadbiran, kewangan serta pengurusan sumber seperti minyak dan gas, membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memelihara hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak secara adil dan berprinsip,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, manfaat pembangunan itu perlu dirasai secara langsung oleh rakyat, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Saya turut mengalu-alukan langkah kerajaan dalam memperluaskan agenda tenaga hijau, meningkatkan pelaburan dalam teknologi masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), serta memperkasa pembangunan modal insan menerusi TVET dan pendidikan tinggi,” jelasnya.
Katanya, pelaksanaan inisiatif perumahan rakyat seperti Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Mesra Rakyat dan skim pembiayaan inovatif khususnya untuk golongan belia mencerminkan pendekatan holistik Kerajaan MADANI yang berteraskan kesejahteraan rakyat.
“Usaha berterusan ini membuktikan Kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan mana-mana wilayah atau negeri, sebaliknya memastikan Sabah dan Sarawak kekal sebagai rakan strategik penting dalam membina Malaysia yang makmur, adil dan bersatu,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Sabah dan Sarawak, agar terus memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri dalam menjayakan agenda pembangunan negara berlandaskan prinsip MADANI, selari dengan aspirasi Segulai Sejalai dan Sabah Maju Jaya.
