Pemuda Gagasan Rakyat kekal tolak penyertaan BN dalam Kerajaan GRS Plus

 

KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan pendirian untuk menolak sebarang usaha membawa Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan GRS Plus yang kini diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Dalam kenyataan hari ini, sayap pemuda parti itu berkata kerajaan negeri yang dibentuk menerusi gabungan GRS Plus mempunyai kedudukan majoriti selesa, sekali gus tidak memerlukan penyertaan BN bagi mengukuhkan pentadbiran.

Menurutnya, komposisi semasa membabitkan 29 kerusi GRS, lima Bebas, UPKO (tiga), Pakatan Harapan (satu), KDM (satu) serta sokongan dua kerusi STAR sudah mencukupi untuk membentuk kerajaan yang stabil.

“Pelantikan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah Dilantik turut mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan di Dewan Undangan Negeri. 

"Komposisi ini stabil dan mencukupi untuk meneruskan agenda pembangunan tanpa perlu penambahan daripada mana-mana pihak yang telah ditolak rakyat,” katanya.

Pemuda Gagasan Rakyat turut menegaskan keputusan rakyat dalam pilihan raya perlu dihormati, sambil menyifatkan sebarang usaha membawa BN kembali ke blok kerajaan sebagai tindakan menafikan mandat pengundi.

“Rakyat Sabah sudah memberikan isyarat jelas dengan menolak BN daripada berada dalam kerajaan negeri. Cubaan menafikan kehendak rakyat adalah tidak wajar,” katanya.

Sayap pemuda itu juga mengingatkan bahawa episod ketidaktentuan politik pada 2023, yang turut dikaitkan dengan tindakan BN ketika itu, tidak harus berulang kerana ia pernah menggugat kepercayaan rakyat dan kestabilan negeri.

“Tambahan pula, BN sebelum ini secara terbuka enggan bekerjasama dengan GRS malah melancarkan serangan politik terhadap kepimpinan Ketua Menteri. 

"Maka tidak wajar kini mereka hadir dengan tuntutan untuk turut serta dalam kerajaan,” katanya.

Pemuda Gagasan Rakyat menegaskan fokus kerajaan ketika ini harus kekal pada usaha memperkukuh pentadbiran, menjamin kestabilan politik dan mempercepat pelaksanaan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sabah, bukannya melayani percaturan politik yang bertentangan dengan mandat rakyat.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama