Mandela, Awang Kadin dijangka angkat sumpah ADUN dilantik


KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Moyog, Datuk Ceasar Mandela Malakun dan Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Datuk Awang Kadin Tang dijangka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik bagi kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

Kedua-dua nama itu adalah antara enam individu yang dijangka mengangkat sumpah di hadapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Lazimnya, pelantikan ADUN Dilantik dibuat bagi memberi ruang kepada parti yang menyokong kerajaan tetapi tidak mempunyai wakil rakyat, selain menambah kekuatan barisan penyokong kerajaan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain dua pemimpin dari Gagasan Rakyat itu, seorang lagi pemimpin mewakili masyarakat Cina turut dijangka dilantik, berkemungkinan daripada Parti Liberal Demokratik (LDP), susulan ketiadaan wakil Cina yang memenangi kerusi mewakili parti kerajaan pada PRU Sabah Ke-17, Sabtu lalu.

Difahamkan, majlis angkat sumpah ADUN Dilantik akan diadakan terlebih dahulu sebelum upacara angkat sumpah barisan Kabinet baharu kerajaan negeri yang dijadual berlangsung petang ini.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama