Kerajaan Campuran GRS Plus pacu kemajuan negeri – Azrul

KOTA KINABALU: Pembentukan Kerajaan Campuran GRS Plus diyakini mampu memperkukuh agenda pembangunan negeri secara lebih terancang dan berkesinambungan, kata Naib Ketua Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim.

Beliau berkata, pelantikan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu memberi keyakinan baharu terhadap usaha meneruskan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, khususnya dalam agenda pertumbuhan ekonomi, kebajikan rakyat dan kestabilan pentadbiran.

“Kerajaan Campuran GRS Plus ini dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan yang lebih mampan dan inklusif. 

“Dengan kesinambungan dasar yang ada, isu dan keperluan rakyat dapat ditangani dengan lebih segera dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Pemuda Gagasan Rakyat akan terus memainkan peranan sebagai wahana suara anak muda, termasuk memperjuangkan isu peluang pekerjaan, pendidikan dan kesejahteraan generasi belia.

“Kami komited bergerak secara kolektif, menggembleng kekuatan serta memastikan potensi anak muda diperkasakan mengikut keperluan semasa,” katanya.

Azrul turut menyeru semua pihak dalam kerajaan campuran itu agar terus berpadu tenaga dan memanfaatkan peranan masing-masing demi membawa Sabah ke arah negeri yang lebih stabil, makmur dan berjaya.

“Kita mahu memastikan pembangunan Sabah bukan sahaja diteruskan, malah dipertingkat agar manfaatnya dirasai seluruh lapisan rakyat,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama