DAP Sabah tolak sebarang jawatan dalam kerajaan negeri

  

KOTA KINABALU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah memutuskan untuk menolak semua jawatan dalam kerajaan negeri, susulan keputusan yang diperoleh pada Sabtu lalu. 

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata mesyuarat tergempar Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) telah diadakan malam tadi bagi mengambil maklum isyarat jelas mengenai wujudnya krisis keyakinan serius terhadap parti dan Pakatan Harapan (PH). 

“Kami telah menerima isyarat yang jelas dan tidak meragukan daripada para pengundi. 

“Tidak dapat dinafikan bahawa pilihan raya kali ini mencerminkan krisis keyakinan yang serius terhadap DAP dan Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa. 

Menurut beliau, pemimpin dan jentera parti turut menyedari terdapat ketidakpuasan rakyat sepanjang tempoh kempen. 

“Berikutan perbincangan dan penilaian dalaman, kami akan mengumpulkan semua maklum balas yang diterima dan berusaha bersama dengan Perdana Menteri untuk mempercepatkan agenda reformasi dalam tempoh enam bulan akan datang,” ujarnya. 

Dalam mesyuarat sama, DAP Sabah memaklumkan kepada CEC bahawa mereka tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan Sabah, termasuk jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri lantikan.

Anthony berkata walaupun tidak menyertai kerajaan negeri, pemimpin DAP Sabah akan terus berkhidmat kepada rakyat dan berusaha mengembalikan keyakinan pengundi.

“Para pemimpin DAP Sabah akan terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat Sabah dan berusaha mengembalikan keyakinan rakyat,”jelasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama