Pemilik syarikat pengendali pakej umrah dipenjara 3 bulan, gagal patuh perintah 'Award' TPPM

TAWAU : Seorang pemilik syarikat pengendali pakej umrah dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah gagal mematuhi award perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang mengarahkan pembayaran tuntutan berjumlah RM24,190 kepada seorang wanita pada Ogos tahun lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Don Stiwin Malanjun terhadap Norhayani M Ilham, 43, selepas gagal menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya.

Katanya, setelah meneliti dan menimbangkan segala hujahan serta fakta yang dikemukakan sepanjang perbicaraan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini.

Mengikut pertuduhan, Norhayani sebagai pemilik syarikat UK Global Halal Digital Marketplace didapati gagal mematuhi Award TTPM bertarikh 27 Ogos 2024 yang memerintahkannya membayar RM24,190 kepada Irnawati Abdul Halid, 43.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau, Tingkat 1 Wisma Persekutuan, Jalan Dunlop Bandar Sabindo, di sini, pada 12 September 2024, 

Ia berhubung kegagalan syarikat terbabit mematuhi keputusan Award yang dikeluarkan Presiden TTPM iaitu membayar RM24,190 kepada pihak penuntut dalam tempoh 14 hari dari tarikh award.

Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa KPDN Sabah, Gunasegaran Krishnan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu dalam rayuan mitigasinya, Norhayani memohon hukuman diringankan selain menangguhkan pelaksanaan hukuman dengan alasan mempunyai tanggungjawab sebagai penjaga tunggal kepada ibu uzur berusia 80 tahun yang terlantar akibat strok serta dua anak kecil berumur tiga dan lima tahun yang masih memerlukan penjagaan sepenuhnya. 

Beliau turut menegaskan bahawa dirinya tidak pernah berniat jahat atau sengaja mengingkari perintah Tribunal, sebaliknya sentiasa berhasrat untuk menyelesaikan pertikaian berkenaan secara baik, termasuk berusaha melunaskan bayaran tuntutan melalui peguamcara.

Tertuduh turut memaklumkan Mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai rekod jenayah dan ini merupakan kesalahan pertama dalam prosiding jenayah selain memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, pihak pendakwaan berhujah bahawa kegagalan mematuhi award TTPM adalah kesalahan serius yang memerlukan hukuman setimpal sebagai pengajaran dan pencegahan kepada tertuduh serta masyarakat, selain melindungi kepentingan mangsa demi menegakkan kewibawaan perintah tribunal.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan rayuan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu prosiding rayuan di Mahkamah Rayuan, dengan syarat jaminan sebanyak RM5,000 berserta dua orang penjamin tempatan.

Sebelum itu, tertuduh turut diperintah membela diri atas tiga lagi pertuduhan mengikut Seksyen dan Akta sama melibatkan tuntutan keseluruhan RM26,400 oleh tiga penuntut lain

Semua kes ditetapkan untuk perbicaraan peringkat bela diri pada 20 hingga 24 Februari tahun hadapan.

Caption : Pemilik syarikat pengendali pakej umrah, Norhayani M Ilham, 43, dipenjara tiga bulan selepas didapati bersalah gagal mematuhi award perintah (TTPM) berhubung pembayaran tuntutan berjumlah RM24,190.00 Ogos tahun lalu. Foto | SS.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama