Hampir 800 anak Sabah gagal daftar UMS, Pemuda Gagasan Rakyat gesa agensi kerajaan tambah baik sistem penyampaian bantuan

 

KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyifatkan kegagalan hampir 800 anak Sabah mendaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) akibat kekangan kewangan bukan berpunca daripada ketiadaan bantuan, sebaliknya kelemahan dalam aspek pelaksanaan, penyampaian dan pemantauan.

Dalam kenyataan media hari ini, pergerakan itu berkata laporan berkenaan menimbulkan keresahan memandangkan Kerajaan Sabah telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan khususnya bagi membantu pelajar melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Menurutnya, antara inisiatif yang disediakan ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) yang memperuntukkan RM2,000 kepada pelajar ijazah sarjana muda dan RM1,500 bagi pelajar diploma, asasi serta matrikulasi, yang disifatkan munasabah bagi meringankan beban awal pelajar sekurang-kurangnya untuk tujuan pendaftaran.

“Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan dana biasiswa tertinggi dalam sejarah Sabah, iaitu hampir RM138 juta pada tahun ini dan dijangka meningkat pada 2026. 

"Ia sekali gus mencerminkan komitmen serius kerajaan terhadap pembangunan modal insan negeri,” katanya.

Sehubungan itu, Pemuda Gagasan Rakyat berpandangan isu berkenaan perlu ditangani melalui penambahbaikan segera terhadap mekanisme pelaksanaan bantuan agar ia benar-benar sampai kepada golongan sasar.

"Antara langkah yang dicadangkan termasuk penyaluran bantuan lebih awal sebelum atau semasa proses pendaftaran IPT, pendekatan proaktif dengan turun ke lapangan khususnya di kawasan pedalaman, serta mengenal pasti pelajar yang tercicir maklumat atau menghadapi kesukaran dalam proses permohonan.

“Tiada anak Sabah seharusnya tercicir daripada meneruskan pendidikan hanya disebabkan kelemahan sistem penyampaian,” katanya.

Pemuda Gagasan Rakyat turut memaklumkan pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk agensi berkaitan dan institusi pengajian tinggi bagi memastikan isu seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

"Pendidikan adalah pelaburan masa depan Sabah dan tanggungjawab memastikan akses yang adil tidak boleh terhenti pada pengumuman dasar semata-mata, sebaliknya mesti sampai dan dirasai rakyat hingga ke peringkat akar umbi," katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama