SEC bayar dividen RM18 juta kepada Kerajaan Negeri hasil prestasi kewangan kukuh 2024

KOTA KINABALU: Sabah Energy Corporation (SEC) mengumumkan pembayaran dividen berjumlah RM18 juta bagi tahun kewangan berakhir 2024, meningkat berbanding RM14 juta pada tahun sebelumnya susulan prestasi kewangan kukuh yang dicatatkan oleh Kumpulan.

Penyampaian dividen itu berlangsung pada Majlis Penyampaian Dividen dan Sumbangan 2025 di Menara Kinabalu dan disampaikan Pengerusi SEC, Datuk Annuar Ayub bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEC, Datuk Ir. Adzmir Abd Rahman kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Majlis berkenaan turut disaksikan Timbalan Ketua Menteri II, Masidi Manjun; Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedict; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong serta Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Sofian Alfian Nair.

Bagi tahun kewangan berkenaan, SEC merekodkan peningkatan ketara di peringkat Kumpulan dan syarikat.

Keuntungan sebelum cukai Kumpulan melonjak kepada RM73.04 juta, meningkat kira-kira 81 peratus berbanding RM40.3 juta pada 2023. 

Di peringkat syarikat pula, keuntungan sebelum cukai mencecah RM54.6 juta, naik sekitar 59 peratus berbanding RM34.4 juta pada tahun sebelumnya.

Anak syarikat milik penuh SEC, Asian Supply Base Sdn. Bhd. (ASB) turut mencatat prestasi memberangsangkan dengan keuntungan sebelum cukai RM34.5 juta, meningkat kira-kira 77 peratus berbanding RM19.5 juta pada 2023.

Datuk Ir. Adzmir berkata, daripada modal berbayar Kerajaan Negeri sebanyak RM299.9 juta pada peringkat awal, keuntungan terkumpul hasil pelaburan berterusan telah meningkatkan Dana Pemegang Saham melebihi RM1 bilion menjelang akhir 2024.

Menurutnya, sejak penubuhan syarikat, nilai buku sesaham Kumpulan SEC meningkat lima kali ganda daripada RM0.70 kepada RM3.56, manakala jumlah dividen yang disumbangkan kepada Kerajaan Negeri setakat ini mencecah RM273.5 juta.

“Prestasi yang dicapai ini didorong pengurusan perbelanjaan yang berdisiplin dan berhemah, kecekapan operasi yang dipertingkat, kepimpinan komited serta sokongan berterusan Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu juga mencerminkan komitmen berterusan SEC dalam memperkukuh daya tahan kewangan sambil memastikan nilai mampan kepada negeri dan rakyat.

Dengan asas kewangan yang kukuh, katanya, SEC optimis untuk mengekalkan pertumbuhan pendapatan serta meningkatkan pulangan kepada pemegang saham pada masa hadapan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama