Masiung gesa percepat kemudahan sukan dan jalan raya di Tongod

 

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah menggesa kerajaan negeri mempercepat pelaksanaan kemudahan asas termasuk kompleks sukan, jalan raya dan infrastruktur lain bagi membantu penduduk di daerah Tongod. 

Beliau menegaskan bahawa Kompleks Sukan Tongod perlu dijadikan tumpuan lawatan sebagai langkah memenuhi hasrat belia yang ingin melihat pembangunan sukan di kawasan mereka.

“Kita tengok sukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). Siapa juara? Antara atlet itu adalah daripada luar bandar, daripada Tenggut walaupun tiada kompleks sukan,” katanya ketika membahas Belanjawan 2026 yang bertempat di Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu ketiadaan jalan raya di beberapa kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM), menyebabkan penduduk masih bergantung kepada pengangkutan bot. 

Menurut beliau, kos menyewa bot mencecah RM800 bagi satu perjalanan, belum termasuk kos minyak, sekali gus menimbulkan beban besar kepada penduduk.

“Sekarang ini semua orang-orang ini masih menggunakan lagi bot. Tiada jalan raya. Kos pengangkutan dia besar. 

“Setiap kali turun ke pekan-pekan berdekatan, mereka terpaksa menyewa bot. Sewa bot sahaja sudah mencecah RM800. 

“Jalan ke Kampung Inaran, Kironggu perlu dipercepakan pembinaan jalannya. Manakala, Kampung Masaum dan kampung-kampung disekitarnya memerlukan bekalan elektrik,” jelas beliau. 

Sementera itu, beliau turut menekankan bahawa kepentingan program internet satelit ‘Starlink’ juga memberi manfaat kepada pelajar luar bandar. 

“Saya faham Starlink ini hanya bersifat sementara kerana sepatutnya terdapat program atau peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan yang dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (JENDELA). 

“Namun, pada masa ini saya sendiri tidak pasti sama ada program JENDELA itu sedang berjalan atau ditangguhkan.

“Oleh itu, kami mahu program Starlink ini dihebarkan, diperluas, dan dilaksanakan di lebih banyak kampung, kerana ia banyak membantu pelajar-pelajar kita mendapatkan akses internet dan kemudahan pembelajaran digital,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama