ADUN Karambunai cadang ‘Zero Setinggan Policy’ atasi masalah kecurian air

 

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Aliakbar Gulasan, mencadangkan kerajaan negeri untuk melaksanakan polisi ‘Zero Setinggan’ sebagai langkah tegas bagi menangani masalah kecurian air serta kewujudan kawasan setinggan haram yang menjadi antara punca utama gangguan bekalan air di Sabah.

Beliau berkata, isu air yang sering dibangkitkan oleh masyarakat di Karambunai tidak dapat diselesaikan sepenuhnya selagi penempatan setinggan haram terus wujud tanpa kawalan berkesan daripada pihak berkuasa.

“Isu air di Karambunai juga masih menjadi di antara perkara yang dibualkan oleh masyarakat. 

“Saya tahu dan saya mendapat makluman yang Non-Revenue Water (NRW) terlalu tinggi sehingga menjangkau 40 peratus. 

“Kewujudan kawasan-kawasan setinggan kadangkala kita lihat tidak dikawal oleh kerajaan. Selagi mana polisi ini tidak ada, maka setinggan akan terus tumbuh seperti ‘cendawan selepas hujan’. 

“Polisi ini bukan merubahkan rumah setinggan, tetapi polisi inilah yang akan menguruskan setinggan supaya keadaannya lebih baik di kawasan yang berhak untuk mendapat tanah digazet dan diwartakan tanahnya,” katanya ketika membahas di Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini, pada Isnin. 

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan masalah jalan rosak dan berlubang di Karambunai dan kawasan pinggir bandar Kota Kinabalu, walaupun peruntukan besar telah diberikan kepada Kementerian Kerja Raya dan Utiliti. 

Menurut beliau, masalah ini bukan kekurangan bajet, tetapi kegagalan kaedah penyelenggaraan dan tiada penilaian prestasi kontraktor.

“Hal ini masih berlaku, menampal jalan selepas ia tular ataupun viral. 

“Saya mencadangkan, kontrak  penyelenggaraan jalan berasaskan prestasi, penilaian berkala, penalti terhadap kerosakan berulang dan penyelenggaraan pencegahan, bukan sekadar tampalan sementara.

“Jika kawasan seperti Karambunai yang duduk di bandar pun rosak, saya kira di luar bandar jauh lebih teruk rosaknya,”katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama