'Pengalaman Ladang Sabah yang Unik 2026–2027' inisiatif promosi pelancongan luar bandar

Jamawi (dua dari kanan) ketika melancarkan gimik perasmian program tersebut.

KOTA KINABALU: Brosur Agropelancongan 'Pengalaman Ladang Sabah yang Unik 2026–2027' (Jilid 2) menjadi pelan hala tuju mempromosikan pelancongan luar bandar Sabah.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Jamawi Jaffar berkata risalah tersebut merupakan antara panduan komprehensif yang menghubungkan pelancong dengan nadi sebenar sektor pertanian negeri ini.

"Edisi kedua risalah menampilkan tempat ataupun kebun menarik untuk dilawati dalam road map negeri Sabah agropelancongan yang diusahakan oleh 30 pengusaha kebun yang telah menerima pelawat-pelawat sejak dua hingga tiga tahun lalu.

"Edisi pertama 11 kebun telah dilancarkan dua tahun lepas manakala edisi kedua melibatkan 30 kebun, maksudnya ada peningkatan sekurang-kurangnya 19 kebun yang baru.

"Sebahagian besar kebun ini merupakan ahli persatuan penanam durian dan buah-buahan tropika," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Bazar Pelancongan Durian Sabah 2025 dan pelancaran Brosur Agropelancongan “Pengalaman Ladang Sabah yang Unik 2026–2027” (Jilid 2), pada Sabtu.

Menurut Jamawi, penerbitan itu memberi maklumat kepada pelancong domestik dan antarabangsa tentang peluang pelancongan yang melangkaui bandar serta pantai dengan menyelami kehidupan luar bandar termasuk melawat kebun, bertemu petani dan memahami proses pengeluaran hasil pertanian.

“Brosur ini akan membantu memupuk penghargaan lebih mendalam terhadap sumber makanan dan hasil pertanian negeri sekaligus mewujudkan pengalaman perjalanan yang lebih bermakna," ujarnya.

Jamawi turut menegaskan risalah berkenaan berfungsi sebagai  platform promosi penting kepada petani dan usahawan agro sekaligus  membuka laluan kepada pasaran baharu serta menjana pendapatan yang mampan melalui sektor pelancongan.

Karnival tersebut dianjurkan MASDA dengan kerjasama Tourism Malaysia Sabah, Sabah Tourism Board, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta FAMA yang berlangsung dari 12  hingga 14 Disember dengan tiga tan metrik durian berjaya dijual.

Hadir sama, Timbalan Menteri MAFFI, Datuk Hendrus Anding dan Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong.

(JABATAN PENERANGAN SABAH)


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama