![]() |
| Ewon (dua dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada Madius, sebagai Pengerusi POIC Sabah, disaksikan oleh Fredian (tiga dari kanan) dan Thomas (dua dari kanan). |
KOTA KINABALU: Bekas Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Panglima Madius Tangau dilantik sebagai Pengerusi bagi menerajui Kumpulan Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Sabah.
Manakala, Datuk Roger Chin telah dilantik sebagai pengerusi Invest Sabah Berhad yang baharu.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, pelantikan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh tadbir urus serta memastikan sektor pelaburan, perindustrian dan logistik Sabah terus dipacu secara tersusun, inklusif dan berimpak tinggi.
Menurutnya, kementerian itu kekal komited melaksanakan agenda ‘Sabah First’ dengan memberi penekanan kepada pembangunan ekosistem pelaburan dan keusahawanan yang mesra pelabur serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
“Pelantikan ini selaras dengan pendekatan Sabah First, di mana kepentingan rakyat dan manfaat ekonomi kepada Sabah sentiasa menjadi keutamaan.
“Saya yakin dengan pengalaman serta kepakaran yang dimiliki, POIC Sabah dan Invest Sabah akan terus memainkan peranan strategik dalam menarik pelaburan berkualiti dan meningkatkan daya saing negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Watikah pelantikan kedua-dua tokoh berpengalaman itu disampaikan oleh dalam satu majlis ringkas di Dewan Mesyuarat Pejabat Menteri, Wisma Kewangan, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis berkenaan Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Thomas Logijin; Ketua Pegawai Eksekutif POIC Sabah, Datuk Gredian Gan serta Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah, Dr Firdausi Suffian.
Dalam pada itu, bekas Pengarah Kastam Sabah, Datuk Jonathan Kandok turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi POIC Sabah.
Ketiga-tiga tokoh yang dilantik merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kepercayaan yang diberikan serta berikrar untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh komitmen.
