LAHAD DATU: Seorang wanita maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Silam, berhampiran SK Silam, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.29 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Fortuner dan Perodua Axia dipercayai telah bertembung.
"Terdapat lima mangsa di dalam Toyota Fortuner dan seorang daripadanya telah tersepit," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, katanya, mangsa wanita berusia 50 tahun yang tersepit berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala empat mangsa lain mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan jentera EMRS dan ambulans KKM.
“Maklumat mengenai mangsa yang menaiki Perodua Axia pula masih belum diperolehi," katanya.
Sumsoa berkata, setelah memastikan lokasi selamat, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 3.29 petang.

