TAWAU: Bau busuk yang dikesan orang awam membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki dipercayai gelandangan di dalam sebuah kedai kosong di Batu 15, Jalan Apas, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 11 pagi selepas orang awam menghubungi Balai Polis Bandar Sri Indah.
Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Bandar Sri Indah bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau segera ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal.
“Siasatan mendapati mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui dalam keadaan meniarap dan berbantal, dipercayai sedang tidur ketika meninggal dunia.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh badan si mati,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, anggaran awal mendapati lelaki berkenaan dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira seminggu sebelum ditemui.
“Kematian disahkan oleh pegawai perubatan dari Hospital Tawau sebelum mayat dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.
