MINDET lancar Program latihan AI untuk PMKS awal 2026

KOTA KINABALU: Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah akan melancarkan Program Latihan Kecerdasan Buatan (AI) khusus untuk usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negeri ini pada awal tahun 2026.

Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan yang juga Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkasa keupayaan digital serta meningkatkan daya saing usahawan tempatan. 

Menurutnya, program tersebut akan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara MINDET dan Pepper Labs susulan pertemuan beliau bersama delegasi syarikat itu yang diketuai Pengarah Urusannya, Thanaselan Rajendran.

“Saya menghargai cadangan kerjasama strategik antara Pepper Labs dan MINDET Sabah bagi menjayakan Program AI untuk usahawan PMKS di Sabah.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan pada awal tahun hadapan bagi membudayakan penggunaan teknologi AI dalam operasi dan pengurusan perusahaan usahawan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Pepper Labs di pejabatnya di Wisma Kewangan, di sini, hari ini.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Pepper Labs atas pemilihan Parlimen Penampang sebagai lokasi pelaksanaan inisiatif perusahaan sosial yang dibiayai Kerajaan Persekutuan.

Katanya, kementerian itu akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan PMKS termasuk perusahaan sosial (SE) dan perniagaan inklusif (IB) bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Sabah yang lebih mampan dan menyeluruh.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama