RANAU: Lebih 250 penunggang motosikal jenis Honda EX5 dari seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan memeriahkan program Gathering EX5 2.0 yang berlangsung di Desa Farm Kundasang, di sini, meskipun berdepan cuaca hujan.
Program yang bermula jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari itu bertujuan mengeratkan silaturahim selain berkongsi pengalaman serta kepakaran berkaitan penjagaan motosikal Honda EX5 dalam kalangan peminat.
Pengerusi bersama penganjur, Mohd Zulfiqah berkata, sambutan diterima di luar jangkaan apabila jumlah kehadiran jauh melebihi sasaran awal.
“Pada peringkat awal, penganjur menganggarkan sekitar 70 buah motosikal sahaja akan hadir, namun lebih 250 motosikal EX5 berkumpul hari ini, tidak termasuk penunggang motosikal pelbagai jenis serta pengunjung Desa Farm yang turut mengambil kesempatan memeriahkan suasana,” katanya.
Menurutnya, walaupun program berlangsung tanpa khemah dan dalam keadaan hujan renyai hingga lebat, kehadiran peserta tetap memberangsangkan serta berlangsung dalam suasana harmoni dan teratur.
Beliau turut mengingatkan semua peserta agar sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengekalkan disiplin ketika menunggang.
“Semangat kebersamaan, setiakawan dan kerjasama dalam kalangan komuniti penunggang motosikal menjadi tonggak utama kejayaan penganjuran himpunan ini,” katanya.
Program itu turut menarik perhatian pengunjung sekitar yang mengambil peluang bergambar bersama motosikal pelbagai modifikasi sekali gus menambah kemeriahan acara.
