GRS fokus kestabilan, perpaduan Sabah menjelang 2026

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi tumpuan kepada agenda kestabilan, perpaduan serta hala tuju pembangunan jangka panjang negeri menjelang Tahun Baharu 2026.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata fokus itu selaras dengan mandat rakyat dalam pilihan raya negeri yang berlangsung baru-baru ini.

Menurutnya, kemenangan GRS membuktikan rakyat memilih kesinambungan dasar, kematangan politik serta kepimpinan yang stabil demi menjamin masa depan Sabah.

“Amanah yang diberikan kepada GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, bukan sekadar kemenangan politik, sebaliknya isyarat jelas rakyat mahukan sebuah kerajaan yang mempunyai hala tuju jelas dan berpaksikan kepentingan rakyat.

“GRS diberi mandat menerajui Kerajaan Perpaduan Sabah dan keputusan ini mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kestabilan pentadbiran serta kepimpinan yang mampu membawa Sabah ke arah kemajuan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Tahun Baharu 2026, hari ini.

Nizam berkata, tahun 2026 menandakan permulaan fasa penting pelaksanaan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang terus menumpukan tiga teras utama pembangunan negeri.

“Teras berkenaan merangkumi sektor pertumbuhan ekonomi, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat, selain pengukuhan jaringan infrastruktur yang mampan serta berteraskan kelestarian hijau,” katanya.

Dalam konteks kementeriannya, beliau berkata fokus akan diberikan kepada pembudayaan belia yang proaktif, berdaya saing dan berimpak tinggi melalui pembangunan kepimpinan, kemahiran masa depan, inovasi serta kesukarelawanan.

“Belia perlu diperkasa bukan sekadar sebagai penerima peluang, tetapi sebagai pencipta nilai dan penyumbang aktif kepada pembangunan negeri,” katanya.

Pada masa sama, usaha menjadikan Sabah sebagai Negeri Sukan akan diteruskan secara menyeluruh meliputi sukan berprestasi tinggi, sukan orang kurang upaya serta sukan massa bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Beliau turut menegaskan pemerkasaan sektor ekonomi kreatif akan dipertingkatkan melalui peningkatan kemahiran, inovasi, pemasaran dan pengurusan, khususnya dalam sektor kreatif dan digital, sebagai pemacu ekonomi baharu yang mampan dan berdaya saing.

Mengulas isu hak negeri, Nizam berkata Kerajaan Sabah akan terus konsisten memperjuangkan kepentingan negeri berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara berhemah dan berprinsip.

“Hubungan erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan berteraskan Malaysia MADANI akan terus diperkukuh demi kepentingan rakyat serta pembinaan negara yang lebih inklusif dan seimbang,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus memberikan sokongan dan kerjasama padu kepada kerajaan negeri.

“Semoga Tahun 2026 membawa sinar baharu, kestabilan berpanjangan serta kemajuan yang lebih bermakna untuk Sabah dan seluruh rakyatnya,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama