Peruntukan RM98 juta untuk belia, sukan dan ekonomi kreatif, pastikan masa depan atlet terjamin

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (MySpace) akan menggunakan peruntukan hampir RM98 juta di bawah Belanjawan Sabah 2026 untuk memperkasakan pembangunan belia sebagai aset strategik negeri.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peruntukan tersebut akan digunakan bagi melaksanakan program latihan, pembangunan kepimpinan, ekonomi kreatif, serta membina ekosistem sukan yang mampan dan inklusif.

“Sabah kini mempunyai kira-kira 2 juta belia berumur 15 hingga 40 tahun, hampir 60 peratus daripada populasi negeri. Golongan ini menjadi aset utama pembangunan negeri,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa,

Nizam menambah bahawa kerajaan negeri menekankan pembudayaan belia secara proaktif, mendorong mereka mencipta peluang sendiri, berinovasi, mengatasi cabaran, dan bekerjasama dengan orang lain.

“Antara program utama di bawah Inkubator Kepimpinan Belia Sahabat (ICAPS) ialah Pelo SMG, Dewan Belia Sahabat, Tamu Suara Belia, Karnibel Belia Sahabat, Kesukaan Relawan, dan Youth Exchange. 

“Program-program ini dijangka memberi impak besar terhadap pembangunan belia serta kesejahteraan rakyat,” ujar beliau. 

Menurutnya, selain inisiatif pembangunan belia, kerajaan negeri turut menekankan kebajikan atlet, termasuk mereka yang telah mewakili Sabah dalam SUKMA, para SUKMA dan kejohanan peringkat kebangsaan.

“Kerajaan menyediakan insentif kemenangan, insentif wakil negara, tambahan 50 peratus insentif daripada persekutuan, caruman KWSP serta peluang keusahawanan dan pekerjaan di agensi kerajaan kepada bekas atlet. 

“Pendekatan ini memastikan atlet Sabah tidak hanya berprestasi di gelanggang tetapi juga mempunyai kelangsungan hidup yang terjamin selepas bersara,” jelasnya. 

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan berhasrat memantapkan Sabah sebagai ‘sports powerhouse’.

“Melalui pembangunan fasiliti, latihan intensif, geran persatuan sukan negeri serta pusat latihan khusus di bawah Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS), kita diyakini dapat membina ekosistem sukan yang mampan, inklusif dan berdaya saing. 

“Ini juga membuka peluang kepada belia dan bekas atlet untuk terus menyumbang kepada pembangunan negeri,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama