KPDN anjur PJRM ‘Kembali ke Sekolah 2026’ sepanjang cuti persekolahan tahun ini

 

TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menganjurkan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) ‘Kembali ke Sekolah 2026’ di seluruh negara bermula 20 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026, bersempena musim cuti persekolahan.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penganjuran program itu adalah sebahagian daripada inisiatif Payung RAHMAH yang diperuntukkan menerusi pembentangan Belanjawan 2026 lalu. 

“Kerajaan MADANI memperuntukkan sebanyak RM300 juta bagi pelaksanaan insiatif Payung RAHMAH di bawah kefungsian KPDN. 

“KPDN akan terus memperkasa pelaksanaan PJRM termasuklah penambahbaikan dari aspek peluasan kaedah dan golongan sasar sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Melalui PJRM Kembali ke Sekolah 2026, seramai 174 pasar raya, pusat beli-belah dan kedai pakaian terlibat menerusi pelaksanaan secara dalam premis dan luar premis di seluruh negara.

“Para pengguna boleh mendapatkan barangan kelengkapan persekolahan pada kadar diskaun antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran semasa. 

Terdapat 45 sehingga 80 Stock Keeping Unit (SKU) ditawarkan seperti pakaian seragam sekolah, kasut sekolah, beg sekolah dan kelengkapan alat tulis,” jelasnya. 

Katanya, sepanjang tempoh penganjuran, sebanyak 269 siri PJRM Kembali ke Sekolah disasarkan untuk dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan manfaat program dapat dinikmati secara meluas oleh rakyat.

“Orang ramai boleh merujuk Takwim PJRM melalui pautan https://www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah untuk mengetahui tarikh dan lokasi PJRM Kembali ke Sekolah yang akan dianjurkan,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama