Kerajaan Persekutuan tingkat ‘sense of urgency’, perkukuh kerjasama lancarkan Projek Pan Borneo Sabah

 

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan meningkatkan tahap keutamaan segera (sense of urgency) bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri dalam memastikan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah berjalan lancar. 

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan segera itu selaras dengan penegasan Perdana Menteri agar semua projek rakyat, khususnya infrastruktur utama, dilaksanakan secara berkesan dan menepati masa yang ditetapkan.

Menurut beliau, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia tidak mampu bergerak secara bersendirian tanpa sokongan dan penyelarasan rapat kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta JKR Sabah.

“Perdana Menteri sendiri menekankan keperluan ‘sense of urgency’ dalam pelaksanaan projek-projek rakyat, termasuk jalan raya, sekolah dan kemudahan kesihatan, justeru kami turun ke Sabah dengan segera bagi memastikan mesej itu diterjemahkan di peringkat pelaksanaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan ke tapak Pan Borneo di Kampung Ketiau, Putatan, di sini, pada Jumaat. 

Dalam pada itu, beliau memaklumkan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Pan Borneo Sabah telah diadakan dengan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi.

“Mesyuarat ini turut melibatkan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan Malaysia dan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Pan Borneo Sabah akan diadakan secara berkala, selain penubuhan jawatankuasa kecil yang lebih teknikal bagi memperincikan isu-isu berkaitan sebelum mesyuarat seterusnya diadakan,”ujar beliau. 

Katanya, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah secara menyeluruh, termasuk isu pengambilan balik tanah, pelarian jajaran, pengalihan utiliti serta prestasi kontraktor bagi beberapa pakej pembinaan.

“Selain jawatankuasa pemandu, jawatankuasa kecil yang lebih teknikal turut ditubuhkan supaya perincian isu dapat diselesaikan lebih awal sebelum mesyuarat seterusnya,” jelasnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama