![]() |
| Jamawi (tengah) ketika ditemui selepas melancarkan Bazar Pelancongan Durian Sabah 2025, di sini, hari ini. |
Menteri Pertanian, Perikanan dan Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata peruntukan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan jumlah yang disalurkan kepada kementeriannya untuk memperkukuh pembangunan sektor berkenaan secara menyeluruh.
Menurut beliau, aspek latihan amat penting bagi memastikan sektor pertanian tidak lagi dimonopoli oleh golongan berusia, sebaliknya mempunyai generasi pelapis yang mampu meneruskan kesinambungan industri pada masa hadapan.
“Tagline saya kepada anak muda ini, ‘Jangan malu jadi petani’.
“Jadi, saya mahu mereka menjadi penyambung generasi yang akan memulakan industri pertanian, perikanan dan industri makanan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Agropelancongan Durian Sabah dan pelancaran Risalah Sabah Agro Tourism Edisi Kedua di kawasan waterfront Todak, di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa kementeri annya merancang untuk memperkenalkan program mentor-menti bermula tahun hadapan, dengan melibatkan usahawan tani muda yang telah berjaya sebagai pembimbing kepada generasi baharu.
“Anak-anak muda yang berusia sekitar 30-an dan telah membuktikan kejayaan dalam bidang pertanian akan dijadikan mentor kepada mereka yang baru bermula, supaya ilmu dan pengalaman dapat dikongsi secara berkesan,”jelasnya.
Sementara itu, beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri juga sedang meneroka kerjasama dengan institusi kewangan bagi menyediakan kemudahan pembiayaan bagi membantu golongan muda memulakan perniagaan.
“Kita akan cuba dapatkan dana bantuan daripada pihak kerajaan dan juga institusi perbankan. Tapi bukan secara percuma, ianya geran berbayar balik tanpa faedah,”ujarnya.
Katanya, inisiatif itu akan diselaraskan dengan program jelajah kebun-dapur yang diyakini mampu menyumbang kepada pengukuhan keterjaminan makanan Sabah, selain membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat tempatan.
