KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat menyifatkan Belanjawan Sabah 2026 sebagai belanjawan yang kukuh, seimbang dan berpaksikan rakyat selepas kerajaan mengumumkan peruntukan RM6.402 bilion dengan lebihan RM28 juta.
Dalam satu kenyataan, Pemuda berkata lebihan itu mencerminkan pengurusan fiskal berhemah serta komitmen Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus memacu pembangunan negeri secara terancang dan mampan.
Menurut kenyataan itu, belanjawan berkenaan juga menyokong pelaksanaan projek serta program baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) merangkumi infrastruktur asas, air, pembetungan, pertanian, industri, pengangkutan dan inovasi, sekali gus menjadi pemangkin kesejahteraan rakyat.
Pemuda turut mengalu-alukan tumpuan besar terhadap pembangunan generasi muda, khususnya melalui peruntukan kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif.
Antara fokus utama termasuk program latihan modal insan, pembangunan bakat, TVET, STEM dan penyertaan belia dalam projek pertanian seperti penternakan ayam pedaging.
Kenyataan itu turut menyatakan bahawa belanjawan berkenaan memperkukuh ekosistem ekonomi masa depan melalui pelaksanaan inisiatif seperti Sabah Sandbox Accelerate, Creative Incubator dan PitchBorneo yang selari dengan aspirasi membentuk Sabah sebagai hab inovasi dan digital.
Selain itu, Pemuda memuji langkah kerajaan mengekalkan program berimpak tinggi kepada rakyat, antaranya Program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR), Rumah Mesra SMJ yang ditambah sebanyak 50 unit setiap DUN termasuk 10 unit kuota anak muda, serta pelbagai inisiatif pendidikan seperti BAYU, BUDI, BAIK, BAKTI dan SUBFLY.
Pergerakan itu juga menyambut baik penekanan terhadap pendidikan awal, keselamatan makanan, Ekonomi Biru serta usaha memerangi ketirisan hasil melalui pendigitalan urus hasil dan reformasi percukaian.
“Secara keseluruhan, Belanjawan Sabah 2026 ialah belanjawan pro-rakyat, pro-pembangunan dan pro-belia.
"Ia menyediakan landasan jelas untuk mempercepatkan transformasi negeri dan memastikan generasi muda Sabah menjadi peneraju masa depan yang lebih makmur, inklusif dan berdaya saing,” katanya.
