KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperkukuh pentadbiran Hal Ehwal Anak Negeri melalui menaiktaraf dan menjenamakan semula Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) sedia ada, termasuk penubuhan Lembaga Pengarah bagi mengawalselia institusi berkenaan.
Menteri Kajian Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohd Ariffin Arif, berkata lembaga tersebut bertujuan mengawalselia tadbir urus, memantau prestasi akademik dan operasi, serta menetapkan dasar dan polisi pengurusan kewangan dan hal-hal berkaitan ILMAN sebagai sebuah institusi yang diiktiraf di peringkat lebih tinggi.
“Tadbir urus berkaitan hal ehwal anak negeri bakal diteruskan dengan membina sembilan Mahkamah Anak Negeri (MAN) baharu di seluruh negeri yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2026.
“Bagi pembiayaan Persekutuan, projek yang sedang berjalan termasuk MAN Tongod bernilai RM5.3 juta dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2026, MAN Putatan bernilai RM5.8 juta siap pada Februari 2026, MAN Nabawan bernilai RM5.58 juta kini mencapai dua peratus kemajuan fizikal.
“MAN Papar bernilai RM5.3 juta sedang dalam proses pemilihan kontraktor, dan MAN Kota Kinabalu bernilai RM5.3 juta dalam proses pelawaan tender,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan Sabah 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Sabah, di sini, hari ini.
Menurutnya, bagi pembiayaan Kerajaan Negeri, MAN Tamparuli bernilai RM1.95 juta telah hampir siap sepenuhnya dengan kemajuan 98.91 peratus.
“MAN Sook yang bernilai RM2 juta kini mencapai 9.58 peratus kemajuan, MAN Paitan bernilai RM2 juta berada dalam proses penilaian tender, manakala MAN Pagalungan sedang memuktamadkan tapak projek,” tambahnya.
