Kerajaan Sabah perkasa program rumah mampu milik, bangunkan sembilan pekan baharu


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memperkasa program rumah mampu milik serta pembangunan sembilan pekan baharu di seluruh negeri menerusi Belanjawan Sabah 2026, bagi memastikan rakyat memiliki penempatan yang selesa dan terancang.

Menteri Kajian Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi peruntukan RM257.44 juta kepada kementeriannya, sejajar dengan usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kementerian saya mengambil perhatian dalam penyediaan perumahan awam kos rendah dan mampu milik di negeri ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Sabah 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini. 

Menurut Arifin, pembinaan rumah mampu milik akan dilaksanakan melalui beberapa program utama termasuk Program Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), Program Perumahan Rakyat Termiskin Sabah (PPRTS) serta Rumah Mampu Milik (RMM) yang melibatkan rumah teres, rumah berkembar dan apartmen.

“Untuk itu, kementerian melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) akan melaksanakan projek perumahan itu di kawasan seperti  Sukau, Melalap, Beluran dan Pitas, selain beberapa daerah lain yang dikenal pasti mempunyai keperluan mendesak terhadap perumahan rakyat,” jelasnya. 

Beliau menambah bahawa kerajaan negeri turut merancang pembangunan sembilan pekan baharu sebagai langkah memperkukuh pembangunan dan kemudahan asas yang lebih lengkap kepada penduduk.

“Pada masa ini LPPB diberi peruntukan untuk membangunkan 9 buah pekan baharu iaitu  di Pekan Baharu Tongod, Panginatan, Merotai, Sg Melayu (Sebatik), Sukau, Melalap, Ulu Dusun dan Beluran serta Penangah,” tambahnya. 

Dalam pada itu, susulan isu yang dibangkitkan oleh Ahli Undangan Negeri (ADUN) Elopura, Calvin Chong bagi pembinaan Pasar Muhibbah baharu di Sandakan, beliau menegaskan bahawa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) telah menyediakan kertas cadangan bagi pembinaan tempat tersebut. 

“Sebagai makluman tambahan, kos RM7 juta bagi pembinaan Pasar Muhibbah baru adalah termasuk pembinaan parit, akses jalan dan juga tempat letak kenderaan yang mana akan dilaksanakan secara design and build. 

“Bagi tapak pasar Muhibbah sementara yang ada pada ketika ini, kerja-kerja pembersihan akan dilaksanakan secara berkala,” ujar beliau.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama