Dasar ‘Sabah First’: Pelabur Wajib Ambil 80 Peratus Tenaga Kerja Anak Sabah – Ewon

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menegaskan pelabur yang beroperasi di Sabah diwajibkan mengutamakan pengambilan tenaga kerja anak negeri, selaras dengan dasar ‘Sabah First’, menurut Menteri Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ahli Undangan Negeri (ADUN) Darau dan Sindumin, mengenai syarikat Esteel Enterprise Sabah, beliau berkata bahawa syarat utama kelulusan Lesen Pengilang (Federal Manufacturing License – FML) oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sekurang-kurangnya 80 peratus daripada tenaga kerja sepenuh masa sesebuah syarikat mesti terdiri daripada rakyat Malaysia.

“Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga kerja tempatan wajib terdiri daripada rakyat Sabah bagi memastikan penglibatan anak negeri dalam sektor perindustrian.

“Ini adalah selaras dengan aspirasi Sabah First dan keutamaan

kepada penglibatan anak tempatan dalam sektor perindustrian,” katanya ketika membuat penggulungan berkenaan Belanjawan Sabah 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Rabu. 

Menurutnya, syarikat Esteel komited mengutamakan pengambilan anak Sabah, selain menyediakan program latihan untuk meningkatkan kemahiran dan kompetensi tenaga kerja tempatan.

“Komitmen Esteel mencerminkan sokongan syarikat terhadap aspirasi Sabah First, sekaligus memastikan manfaat pelaburan dinikmati sepenuhnya oleh rakyat negeri ini melalui peluang pekerjaan mampan dan berimpak tinggi,” jelas beliau. 

Beliau menegaskan bahawa pendekatan keutamaan kepada tenaga kerja tempatan bukan sahaja memperkukuh peluang pekerjaan, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan modal insan dan peningkatan sosioekonomi setempat. 

“Sebagai contoh, dua pelabur utama lain, SK Nexilis dan Kumpulan Kibing, telah menghantar pekerja tempatan ke Korea Selatan dan China bagi mengikuti latihan intensif, bagi memastikan tenaga kerja tempatan bersedia menghadapi operasi berteknologi tinggi di fasiliti mereka di Sabah,”tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama