KOTA KINABALU: Kenyataan ringkas bekas Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, yang menekankan mesej supaya kekal fokus, berpijak di bumi nyata dan tidak berputus asa, dilihat memberi bayangan awal terhadap hala tuju politik beliau selepas tersisih daripada kepimpinan baharu UMNO Sabah.
Walaupun tidak menyebut sebarang perancangan secara terbuka, mesej berbentuk motivasi itu ditafsirkan sebagai isyarat bahawa Rahman Dahlan masih belum menutup pintu sepenuhnya dalam arena politik, sebaliknya memilih pendekatan ‘restart, reset, refocus’ dalam menghadapi fasa baharu perjuangan.
Perkembangan itu hadir seiring langkah UMNO Sabah melakukan penstrukturan semula kepimpinan negeri, dengan pelantikan Datuk Jafry Ariffin sebagai Ketua UMNO Sabah, Datuk Mohd Hasnol Haji Ayub sebagai Timbalan Ketua, manakala Samasuddin Yusop dilantik sebagai Setiausaha.
Dalam penstrukturan berkenaan, Rahman Dahlan yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua UMNO Sabah tidak disenaraikan dalam barisan kepimpinan utama, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai peranan seterusnya dalam landskap politik negeri.
Rahman Dahlan sebelum ini dikenali sebagai tokoh berpengalaman dalam UMNO dan politik nasional, termasuk pernah menggalas jawatan menteri persekutuan.
Justeru, ramai berpandangan beliau masih memiliki pengaruh serta pengalaman yang relevan, sama ada dalam UMNO atau medan politik lebih luas.
Setakat ini, Rahman Dahlan belum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut mengenai kedudukannya dalam UMNO Sabah atau kemungkinan langkah politik baharu, namun mesej ‘satu langkah pada satu masa’ yang diketengahkan dilihat sebagai petunjuk bahawa beliau masih menyusun strategi.
Dalam suasana UMNO Sabah yang sedang melalui fasa penjenamaan dan penyusunan semula, kenyataan Rahman Dahlan itu mengundang persoalan sama ada beliau akan kembali memainkan peranan aktif, atau memilih pendekatan berbeza menjelang landskap politik Sabah yang semakin dinamik.
