Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata penyertaan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas yang sebelum ini pernah berada dalam GRS juga dilihat penting dalam memperkukuh struktur pentadbiran kerajaan.
“Meskipun mereka pernah memegang jawatan dalam GRS sebelum hari penamaan calon, suara mereka kini atas kapasiti ADUN Bebas tetap memberi nilai signifikan kepada kestabilan pentadbiran negeri.
“Kita mahu memastikan agenda mendahulukan hak dan kepentingan Sabah kekal menjadi teras, sejajar dengan aku janji pilihan raya setiap parti serta komitmen semua ADUN yang membentuk kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Armizan berkata, Kabinet Negeri akan segera memperincikan kerangka dasar serta hala tuju utama selepas Mesyuarat Jemaah Menteri pertama diadakan dalam masa terdekat.
Beliau menyifatka landskap politik Sabah ketika ini menuntut kesepakatan lebih kukuh berikutan tiada mana-mana gabungan berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara tunggal.
“Mandat rakyat jelas mahukan sebuah kerajaan yang stabil, inklusif dan berintegriti, selain mampu membawa perubahan bermakna untuk negeri.
“Aspirasi rakyat Sabah mesti diterjemahkan segera melalui pentadbiran yang berfungsi dengan baik, manakala peranan pembangkang sebagai semak dan imbang juga kekal penting,” katanya.
Armizan berharap usaha dan komitmen semua pihak mampu membuka jalan ke arah masa depan yang lebih baik untuk Sabah dan rakyatnya.
