KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah menyuarakan rasa kecewa terhadap perkembangan terbaharu pembentukan kabinet negeri yang didakwa tidak menghormati aspirasi dan maruah politik anak muda Sabah.
Presidennya, Abqaree Fawwaz Abekan, berkata kemasukan parti luar ke dalam struktur pentadbiran negeri menimbulkan kekecewaan mendalam dalam kalangan belia yang selama ini menjadi tulang belakang gerakan politik dan kemasyarakatan di Sabah.
Menurutnya, golongan muda telah mengorbankan tenaga dan masa dalam kempen pilihan raya dengan harapan masa depan Sabah ditentukan oleh rakyat negeri ini sendiri, bukan dipengaruhi percaturan politik luar.
“Anak muda Sabah berjuang habis-habisan untuk mempertahankan maruah negeri, namun keputusan terkini seolah-olah menidakkan seluruh usaha tersebut.
"Kami berasa dipandang enteng dan seakan pengorbanan kami dianggap permainan politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa maruah Sabah tidak boleh dijadikan bahan tawar-menawar, manakala suara belia tidak wajar digunakan untuk meraih sokongan sebelum diketepikan selepas kemenangan dicapai.
Katanya, belia mahu melihat kepimpinan yang berani, bermaruah dan bebas daripada campur tangan luar, selain memastikan autonomi Sabah terus dipertahankan.
“Kami tidak menolak kerjasama, namun kerjasama itu mesti menghormati maruah anak muda Sabah.
"Negeri ini berhak kepada kepimpinan yang benar-benar memperjuangkan masa depan rakyatnya,” katanya.
Abqaree turut menegaskan bahawa belia Sabah akan terus bersuara dalam mempertahankan hak dan masa depan negeri.
“Ini negeri kita, ini maruah kita dan ini masa depan kita,” katanya.
