KOTA KINABALU: Jumlah koloni setinggan di Sabah menurun sebanyak 18 peratus berbanding tahun 2023, menurut Menteri Kajian Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Ariffin Arif.
Beliau berkata, pihaknya mencadangkan sebilangan koloni setinggan diwartakan sebagai kampung untuk memperkemaskan pengurusan setinggan serta meningkatkan kualiti hidup penduduk di negeri ini.
“Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, jumlah koloni setinggan di negeri Sabah terkini telah menurun kepada 233 koloni berbanding dengan ‘lock figure’ sebanyak 285 koloni pada tahun 2023.
“Penurunan sebanyak 18% atau 52 koloni,” katanya ketika menggulung perbahasannya, hari ini.
Sementara itu, susulan cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Undangan Negeri (ADUN) berkenaan ‘Polisi Setinggan Sifar’, beliau berkata bahawa kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Induk Ehwal Setinggan Negeri Sabah telah menggariskan beberapa pendekatan dalam menguruskan setinggan di negeri ini.
“Antaranya ialah Penggazetan Kawasan setinggan yang sesuai sebagai perkampungan, Penempatan semula setinggan melalui tawaran lot-lot atau tapak-tapak atau unit rumah yang sesuai.
“Manakala, pembinaan rumah mampu milik dan rumah kos rendah secara ‘in-situ’ serta Land swap untuk tanah hak milik yang terlibat dengan setinggan,” jelasnya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menekankan transformasi digital dalam pengurusan setinggan dengan pelaksanaan sistem ePBT di sembilan Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpilih menerusi peruntukan dalam Belanjawan 2026.
“Penambahbaikan sistem maklumat setinggan E-Squatters Population (eSP 2.0), dan penggunaan sistem permohonan jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (eJKDB) untuk memudahkan pemantauan serta pengurusan setinggan di seluruh negeri,” tambahnya.
